UiTM kembali temui rentak kemenangan


Selepas tewas dua kali berturut-turut, UiTM FC akhirnya bangkit untuk kembali bersaing dalam kelompok atasan Liga Perdana melalui kemenangan 3-2 ke atas Sarawak di Stadium UiTM, semalam.

Tiada jalan lain buat tuan rumah itu jika mahu merapatkan jurang mata dengan pencabar lain dalam Liga Perdana kecuali meraih tiga mata berdepan Sarawak.

Dorongan itu jelas menjadi motivasi utama buat UiTM FC yang berada di depan pada minit ke-12 hasil hantaran Nursalam Zainal Abidin yang disempurnakan Lucas Ramon Pugh melalui rembatan dari jarak 25 meter.

Dua puluh minit kemudian, Lucas sekali lagi tidak mensia-siakan kesempatan apabila percubaannya menemui sasaran di penjuru kiri gawang Sarawak.

Sarawak, bagaimanapun, memperoleh gol pertama sebelum babak pertama berakhir apabila Mateo Roskam menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan ekoran kekasaran yang dilakukan Muhd Asnan Awal Hisham ke atas Hairol Mokhtar.

Penyerang UiTM, Dao Bakary, kembali meletakkan tuan rumah berkelebihan dua gol di hadapan apabila pantas menolak masuk bola muntah melalui percubaan terdahulu Nursalam pada minit ke-58.

Situasi semakin menarik pada minit ke-80 sebaik Roskam merapatkan jurang untuk Sarawak selepas sepakan lambungnya gagal dijangkau penjaga gol, Soffuan Towil.

Nasib ternyata tidak menyebelahi Sarawak apabila palang menjadi penghalang sepakan Roskam pada minit ke-90 selain sepakan percuma Alif Hasan yang dinafikan Soffuan.

"Walaupun dalam separuh masa kedua UiTM diberikan tekanan oleh Sarawak, kami menampilkan aksi cemerlang hingga hujung permainan dan mengambil kemenangan ini sebagai motivasi untuk terus mengejar dua pasukan teratas liga," kata ketua jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail.

"Saya berpuas hati dengan persembahan Sarawak dan selepas ini, kami perlu membuat persiapan bagi perlawanan seterusnya bertemu Felda United," kata jurulatih Sarawak, Ian Gillan.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==