Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi, berpendapat beberapa keputusan pengadil mempengaruhi keputusan perlawanan ketika pasukannya seri tanpa jaringan menentang Pahang dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darulmakmur, malam tadi.
Jurulatih dari Argentina itu berkata Harimau Selatan sepatutnya diberikan sekurang-kurangnya dua sepakan penalti selain satu sepakan percuma, merujuk kepada keputusan pengadil, Zulkarnain Zakaria,
"Saya berpuas hati dengan semua pemain yang menunjukkan disiplin yang tinggi dan mentaliti yang bagus.
"Beberapa keputusan pengadil turut mempengaruhi keputusan pada malam ini (malam tadi). Kami sepatutnya diberikan penalti dalam separuh masa pertama apabila pertahanan Pahang melakukan terjahan lewat ke atas (Muhammad) Safawi Rasid di dalam kotak penalti.
"Begitu juga dalam separuh masa kedua apabila (Ahmad) Hazwan Bakri turut dikasari di dalam kotak penalti. Dan ketiga, pengadil tidak memberikan sepakan percuma apabila Safawi dikasari ketika melakukan serangan balas.
"Kadangkala kita perlukan nasib dalam satu perlawanan tetapi beberapa keputusan yang teruk mempengaruhi keputusan perlawanan malam ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan laman Facebook JOHOR Southern Tigers.
Namun, Longhi menjangkakan pasukannya akan bangkit dalam aksi timbal balik di Larkin pada 20 April ini selepas mengharungi dua perlawanan masing-masing dalam Piala AFC dan Liga Super.
Tambahnya: "Bagaimanapun, kami akan fokus kepada perlawanan yang akan datang di mana kami akan bertandang ke Jakarta untuk saingan Piala AFC, menentang PKNS di tempat sendiri dan menentang Pahang untuk pusingan kedua Piala FA di Larkin.
"Kami mempunyai beberapa perlawanan sebelum jendela perpindahan kedua dibuka untuk memastikan kami menjadi sebuah pasukan yang kuat. Kami akan mendapatkan pemain yang baik untuk bermain dengan JDT bagi menjaga kualiti pasukan."
Sumber >> www.stadiumastro.com