Selepas menewaskan Datuk Lee Chong Wei dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) semalam, Kento Momota membuktikan dia juga antara pencabar takhta nombor satu dunia.
Itu pandangan bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek, apabila diajukan persoalan terhadap keupayaan Momota.
Momota, yang digantung hampir setahun oleh Persatuan Badminton Jepun gara-gara skandal perjudian, tidak mempersiakan peluang apabila diberi lampu hijau untuk kembali beraksi pada Mei 2017.
Sebelum digantung, Momota berada di ranking kedua dunia dan dicanang mampu memenangi Sukan Olimpik Rio 2016.
"Perkembangan Momota semakin meningkat selepas kembali beraksi dan ketika bertemu Chong Wei, prestasinya semakin berada pada tahap terbaik," kata Rashid.
Separuh akhir di Wuhan menyaksikan Momota mencipta kebangkitan untuk menewaskan Chong Wei ketika dia ketinggalan 16-19 dalam set pertama.
Momota, yang sentiasa disifatkannya sebagai pemain berbakat, akhirnya menang 21-19, 21-14.
"Malaysia tidak boleh terlalu mengharapkan kepada Chong Wei. Beraksi di tahap ini, Malaysia seharusnya berbangga dan ia perlu dijadikan sebagai teladan kepada pemain-pemain muda untuk mencapai ke tahap sepertinya," kata Rashid lagi.
Sumber >> www.stadiumastro.com