OLYMPIQUE MARSEILLE 5 RB LEIPZIG 2
Tewas dalam aksi pertama tidak mematahkan semangat Olympique Marseille untuk bangkit di depan penyokong sendiri apabila membelasah RB Leipzig 5-2 dalam saingan suku akhir kedua Liga Europa, awal pagi tadi.
Beraksi di Stadium Orange Velodrome, Marseille melayan kunjungan wakil Jerman dengan misi mengatasi kelebihan satu gol yang diraih lawan pada minggu lepas.
Bagaimanapun, pemain sayap Leipzig, Bruma, mengejutkan skuad kendalian Rudi Garcia dengan gol pembukaan seawal minit kedua perlawanan menerusi percubaan jarak dekat.
Marseille hanya memerlukan tiga minit untuk kembali mengikat kedudukan apabila Stefan Ilsanker tertampan bola masuk ke gawang sendiri, sebelum Bouna Sarr menyambut bola muntah hasil percubaan Morgan Sanson untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit kesembilan.
Menyedari kedudukan itu belum membawa mereka ke separuh akhir, Marseille menggandakan asakan dan hasilnya, sepakan percuma Dimitri Payet mudah disempurnakan Florian Thauvin untuk memberi pendahuluan 3-1 pada minit ke-38 sehingga tamat separuh masa pertama.
Tuan rumah menerima tamparan hebat apabila penyerang Leipzig, Jean-Kevin Augustin, melencongkan bola pada minit ke-55 untuk menjadikan kedudukan 3-2, sekaligus memberikan pendahuluan agregat buat pelawat, namun Payet pantas memadam kelebihan itu dengan jaringan keempat, lima minit kemudian.
Walaupun penjaga gol pelawat, Peter Gulasci, cuba naik ke atas untuk memburu gol, tindakan itu memakan diri apabila dia membiarkan gawang kosong untuk mudah buat Hiroki Sakai menjaringkan gol kelima pada minit terakhir perlawanan.
Kemenangan 5-2 itu bermakna Marseille meneruskan kemaraan ke separuh akhir menerusi agregat 5-3, mengiringi Arsenal, Salzburg dan Atletico Madrid.
Sumber >> www.stadiumastro.com