Arsene Wenger percaya keputusan kekal di Arsenal dan menolak peluang untuk mengambil alih tugasan di Manchester United adalah keputusan tepat.
Wenger sempat mengadakan perbincangan dengan United untuk menjadi pengganti kepada sir Alex Ferguson pada awal 2000-an, sebelum memutuskan untuk kekal bersama Gunners.
Pengurus Perancis itu akan menghadapi United buat kali terakhir dalam kancah Liga Perdana malam esok sebelum menamatkan tempoh 22 tahun di Arsenal pada penghujung musim ini.
Wenger, 68, berkata dia tidak menyesal kerana menolak peluang menjadi pengurus United berikutan perasaan kuatnya terhadap Arsenal.
"Tidak, kerana Arsenal adalah cinta saya," kata Wenger kepada wartawan.
"Saya menolak banyak, banyak, banyak tawaran demi kekal di sini dan menghadapi cabaran ketika kami membina stadium (Emirates).
"Saya tidak menyesal kerana ini adalah cara saya melihat hidup dan mengenai keutamaan yang perlu diberikan.
"Ya, saya bertemu (pengerusi United) Martin Edwards tetapi ramai yang datang berjumpa saya di rumah, tetapi saya sentiasa setia kepada kelab ini."
Persaingan di antara Wenger dengan Ferguson membawa kepada hubungan tegang, begitupun Wenger tidak pasti tentang reaksinya kelak.
Tambahnya: "Saya selalu menerima sambutan yang sangat baik (di Old Trafford). Saya tidak tahu apakah sambutan yang bakal saya terima, kami hanya akan memberi tumpuan untuk memenangi permainan.
"Kami melangsungkan beberapa perlawanan hebat sepanjang 22 tahun ini, jika saya mendapat sambutan yang baik, saya akan terimanya."
Sumber >> www.stadiumastro.com