Pemain Barcelona, Marc-Andre Ter Stegen, menjelaskan situasi dimalukan ketika kali terakhir menentang AS Roma di Stadium Olimpico telah membuatkannya menjadi penjaga gol yang lebih hebat.
Skuad kendalian Ernesto Valverde itu sedang memegang kelebihan ke atas wakil Itali itu selepas memenangi aksi pertama di Camp Nou 4-1.
Dalam aksi pertama itu, Ter Stegen, yang merupakan penjaga gol skuad kebangsaan Jerman, mempamerkan aksi hebat untuk mengesahkan kedudukan selaku pilihan utama di gawang Barca.
Ia berbeza dengan pertemuan pada September 2015, apabila dia menjadi pilihan utama sebelum Claudio Bravo kembali merebut posisi itu bagi saingan LaLiga.
Jaringan Alessandro Florenzi dari jarak jauh telah memerangkap posisi Ter Stegen dan membantu skuad Giallorossi mencatat keputusan seri 1-1.
"Saya tidak berubah sejak gol tersebut. Perkara sebegini jarang berlaku," kata Ter Stegen.
"Mungkin jaringan itu telah membuat saya lebih kuat selepas melihat apa yang diperkatakan oleh orang ramai terhadap saya selepas itu, namun ia tidak mengubah cara permainan saya.
"Mungkin juga saya akan lebih berhati-hati dengan percubaan jarak jauh tetapi ia adalah sebahagian daripada kehidupan, sebahagian daripada bola sepak. Jaringan hebat selalunya berlaku di luar jangkaan anda."
Sumber >> www.stadiumastro.com