Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, percaya kejuaraan Liga Europa mampu menjadi hadiah terbaik buat Fernando Torres apabila meninggalkan pasukan, akhir musim ini.
Torres baru-baru ini mengesahkan bakal mengakhiri khidmatnya bersama Atletico sebaik sahaja kontraknya tamat pada hujung musim 2017/18 selepas bergelut untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama susulan ketibaan Diego Costa pada Januari lalu.
Pemain berusia 34 tahun itu membantu Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara dan Liga Europa ketika beraksi di Stamford Bridge, sambil khidmatnya kini mula diintai Liga Super China dan beberapa pasukan dari Amerika Syarikat.
Atletico kini berada di posisi terbaik untuk ke separuh akhir Liga Europa selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sporting Lisbon dalam suku akhir pertama, minggu lalu hasil jaringan Koke dan Antoine Griezmann.
Situasi itu membuatkan Simeone berharap penghijrahan Torres akan ditemani dengan noktah kejuaraan.
“Penting buat Torres untuk memenanginya, membuatkan kami bersamanya. Sebab itu sangat penting untuk sentiasa bersatu dalam pasukan kerana trofi Liga Europa memberikan makna besar,” kata Simeone.
“Dia adalah pemain paling berjaya dalam sejarah kelab dan kejayaan Liga Europa pada musim ini akan melengkapkannya.
“Setiap aksi Torres memberikan kesan. Jika dia memilih sesuatu, bermakna ia adalah waktu paling tepat untuknya. Memenangi kejuaraan adalah apa yang kami mahukan ketika ini.”
Simeone juga menyifatkan kekalahan Barcelona di tangan Roma memberikan peringatan buatnya menjelang aksi kedua di Lisbon.
“Ia satu peringatan buat semua, bukan hanya untuk Sporting.
“Bola sepak menjadi indah kerana aksi sebegini, dimana terdapat pasukan yang mampu mencipta situasi itu. Kami bakal berdepan pasukan yang akan melakukan segalanya berbekalkan sokongan penyokong-penyokong sendiri.
“Mereka adalah pasukan yang kompetitif. Selepas dibolosi awal di Wanda Metropolitano, mereka berpeluang untuk mencatat jaringan di penghujung aksi, jadi ia bakal menjadi aksi yang sengit.”
Sumber >> www.stadiumastro.com