Jelius tetap puas hati


Walaupun sekadar seri 1-1 dengan pendahulu Liga Perdana, Felda United, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi, pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap puas hati dengan persembahan ditunjukkan anak buahnya.

"Kami mendapat keputusan seri dan hampir memenanginya. Felda sebuah pasukan yang kuat, mereka sepatutnya beraksi dalam Liga Super dan kini berada di takhta liga.

"Secara keseluruhan saya puas hati dengan persembahan mereka dan semangat juang mereka untuk memenangi perlawanan itu," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Jurulatih berusia 47 tahun itu bagaimanapun sedikit kecewa dengan ketumpulan di bahagian serangan berikutan beberapa peluang baik dimiliki mereka gagal disudahkan dengan baik.

"Kalau kita lihat perlawanan tadi (malam tadi), kami lebih banyak memiliki peluang bahaya berbanding Felda, namun ketajaman di bahagian serangan agak kurang.

"Walaupun pasukan lawan memiliki barisan pertahanan yang baik diketuai Shukor (Adan), kami masih dapat mengucar-ngacirkan mereka, tapi malangnya kami tiada penyudah," katanya.

Dalam aksi malam tadi, Sabah dan Felda masih mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan liga selepas seri 1-1.

Gol Felda dijaringkan Iain Ramsay pada minit ke-10 selepas kesilapan dilakukan kapten Sabah, Rawilson Batuil, di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Sabah berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti penyerang import mereka, Hector Omar Ramos, selepas Lee Gil Hoon dijatuhkan di dalam kotak penalti pada minit ke-33.

Dengan keputusan malam tadi, Sabah jatuh ke tangga ketiga di belakang Sarawak dengan 13 mata hasil daripada tiga kemenangan dan empat kali seri.

Felda pula terus kukuh di tangga teratas dengan 19 mata hasil enam kemenangan dan sekali seri.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==