Pep Guardiola mendedahkan dia mungkin melakukan perubahan kepada barisan pertahanan Manchester City apabila berdepan Liverpool bagi aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Etihad pada awal pagi esok.
City telah dibolosi enam gol dalam dua perlawanan terakhir, di mana mereka ditundukkan 3-0 oleh Liverpool di Anfield minggu lal, sebelum melepaskan pendahuluan dua gol untuk tewas 3-2 di tangan seteru setempat, Manchester United, Sabtu lalu sehingga terlepas peluang untuk mengesahkan kejuaraan liga lebih awal.
Nicolas Otamendi dan Vincent Kompany bergandingan di benteng tengah dalam kedua-dua aksi dan Guardiola sudah mula memikirkan alternatif untuk mereka.
"Mungkin saya mempunyai idea apa yang harus dilakukan esok, apa yang pemain-pemain perlu lakukan," katanya.
"Dalam isu Otamendi, apabila seorang pemain meraih prestasi sepertinya, apa yang boleh kami lakukan adalah sentiasa ada dengannya kerana dia bukan sekadar seorang pemain yang berkualiti tinggi tetapi mempunyai kekuatan mental.
"Benar, gol ketiga memerlukannya untuk kembali bertahan tetapi kami kini di suku akhir dan 13 mata mendahului liga, menunjukkan betapa pentingnya Otamendi.
"Selepas mengalami kecederaan pada November lalu, dia berdepan masalah keyakinan dan dalam aksi terakhir bersama skuad Argentina, dia mengalami hentakan sehingga tidak dapat bermain bertemu Everton, melalui tujuh hari tanpa sesi latihan dan berasa tidak selesa sebelum menentang United.
"Dia tidak begitu sempurna dan saya tidak mahu mengambil risiko. Saya sedar akan keyakinan yang saya berikan kepadanya sejak musim lalu tetapi dia harus bersaing dengan pemain-pemain lain untuk membuktikan mengapa dia harus diturunkan," katanya.
Dalam masa sama, Guardiola juga menyifatkan dua kekalahan itu memberikan pengajaran berguna buat pasukannya untuk jangka panjang.
"Jika kami tidak bersedia daripada segi psikologi, ia sangat berguna untuk masa akan datang kerana kami bukan di sini sekadar untuk beberapa bulan.
"Kami melihatnya sebagai ujian terbaik dalam bola sepak kerana ia adalah cabaran dan kami gembira untuk mengawalnya. Keputusannya sukar diterima tetapi segalanya boleh berlaku.
"Kami harus menyerang, melakukan serangan balas. Masih ada 90 minit dan masa tambahan, jadi kami akan menunjukkan apa yang kami mampu kerana dalam tempoh pendek juga City boleh melakukannya. Liverpool tahu mengenainya."
Sumber >> www.stadiumastro.com