Duduk di rumah kalau tidak yakin dengan kebangkitan Roma -- Di Francesco


Eusebio Di Francesco menuduh AS Roma sudah menyerah kalah pada babak kedua dalam kekalahan 5-2 kepada Liverpool sungguhpun menegaskan bahawa perjuangan mereka dalam separuh akhir Liga Juara-Juara belum berakhir.

Pelawat tenggelam sepanjang 68 minit awal permainan di Anfield dengan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane menyumbat lima gol.

Bagaimanapun, gol lewat daripada Edin Dzeko dan Diego Perotti memberi Roma harapan untuk mengulangi kejayaan dramatik menumpaskan Barcelona 3-0 dalam pertemuan kedua suku akhir untuk melangkah lebih jauh.

Di Francesco, yang kecewa dengan kegagalan pasukannya memenangi pertempuran di bahagian tengah, berang pintu gol mereka dibolosi tiga kali lagi selepas 13 minit keluar dari bilik persalinan.

Dia, bagaimanapun, menegaskan mereka harus percaya mampu mencapai final.

"Kami kehilangan banyak bola dan kedudukan selepas gol pertama," katanya dalam sidang akhbar. "Kami tidak membaca permainan seperti yang sepatutnya dan kami tidak mempunyai kualiti.

"Saya fikir kami berhak untuk menjaringkan dua gol itu, pasukan ini terbukti mempunyai jiwa. Apapun, saya tidak gembira kami berputus asa pada babak kedua. Kami menguasai 20-25 minit pertama sebelum kehilangan banyak perebutan bola.

"Bola sepak bukan permainan tentang sistem, ia tentang perebutan bola secara individu. Di satu peringkat, ia mungkin berlaku lebih daripada lima kali.

"Kami tidak memerlukan keajaiban, kami hanya perlu percaya seperti ketika menentang Barcelona dan peminat memberikan sokongan.

"Ini adalah separuh akhir Liga Juara-Juara yang pertama untuk Roma dalam tempoh tiga dekad, kami tidak terbiasa dengannya tetapi biarlah saya mengingatkan anda: pertemuan ini belum berakhir.

"Siapa yang tidak percaya mengenai kebangkitan boleh duduk di rumah. Saya bertanggungjawab, saya yang paling bertanggungjawab di sini tetapi kami masih bermain dalam separuh akhir," hujahnya.

Permulaan goyah Roma dalam separuh masa kedua diburukkan lagi apabila Di Francesco dilihat menghamburkan kemarahan terhadap pemain tengah, Radja Nainggolan dan Kevin Strootman.

Ketua jurulatih itu menjelaskan barisan pemainnya telah menyalahgunakan arahannya lalu mendorong mereka untuk bermain dalam sistem yang berbeza.

"Terdapat salah faham dengan penggantian itu, saya meminta mereka untuk bermain 4-3-3, sebaliknya bermain 4-2-3-1, kemudian mereka menjaringkan gol kelima, sekali gus membuktikan perincian boleh membuat perbezaan," katanya.

"Apa yang tidak saya harapkan ialah tewas dengan banyak gol, satu persatu pada babak kedua. Apabila anda kerap kehilangan bola di bahagian tengah, sukar untuk mengubah rentak permainan.

"Kami memberi terlalu banyak bola, kami bekerja keras dan tahu bahawa mereka cekap menggunakan hantaran jauh dari bahagian tengah.

"Saya cuba mengubah keadaan kerana kami kehilangan rentak, terlalu banyak ruang diberikan dan kami perlu bangkit manakala seorang penyerang lagi diketengahkan dalam usaha kami menguasai bola," tambahnya.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==