Pemain import Pahang, Mohamadou Sumareh, mahu Norshahrul Idlan Talaha dan M. Kogileswaran menyahut kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih, Dollah Salleh, dengan memberikan aksi memukau demi meraih tiga mata menentang Kuala Lumpur dalam Liga Super di Stadium Cheras, malam ini.
Sumareh mengakui dia berhadapan kesukaran untuk merangka pelan jaringan buat Pahang selepas ketiadaan Francis Forkey Doe yang terpaksa berehat panjang ekoran kecederaan.
Ternyata kehilangan Forkey Doe masih meninggalkan kesan buat Sumareh yang banyak bekerjasama dengan pemain kelahiran Liberia itu ketika di atas padang.
Namun, kelibat dua pemain tempatan, Kogileswaran dan Norshahrul atau Mat Yo yang merupakan individu paling dekat menggantikan tempat Forkey Doe tetap mendapat kepercayaan Sumareh menjelang aksi dengan Kuala Lumpur, malam ini.
"Kami mempunyai ramai pemain muda, termasuk Kogi dan Mat Yo.
"Saya fikir mereka boleh bermain dengan menggunakan pengalaman yang ada. Ini kerana bola sepak adalah sukan berpasukan," ujarnya.
Berhadapan Kuala Lumpur, Sumareh tidak mahu menganggap ia sebagai perlawanan mudah walaupun menyedari hasrat Pahang turun ke Stadium Cheras adalah untuk mencari tiga mata penuh.
"Kuala Lumpur bukan pasukan yang lemah. Semua pasukan dalam Liga Super adalah kuat.
"Jadi, kami tidak boleh mengambilnya dengan mudah. Apabila bermain, kita perlu memberikan 100 peratus," katanya lagi.
Sumber >> www.stadiumastro.com