Selepas cemerlang bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan dengan Bhutan, Ahad lalu, tumpuan penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha Abdul Radzak, kini adalah untuk meneruskan aksi ampuh dalam suku akhir pertama Piala FA berdepan Selangor, Sabtu ini.
Bagi Zaquan, setiap pemain skuad Warga Kota juga mahu menebus kehampaan tumpas 2-0 di tangan Selangor dalam aksi sulung Liga Super pada awal musim selain memastikan mara jauh dalam Piala FA.
Selain Zaquan, pertahanan kiri, Syazwan Andik Ishak serta Muhammad Irfan Zakaria turut beraksi dengan skuad Harimau Malaya tempoh hari dan ketiga-tiga mereka dijangka membarisi skuad utama Kuala Lumpur di bawah bimbingan Fabio Maciel.
"Apabila kembali ke pangkuan kelab, kami harus menyesuaikan diri dengan cara permainan pasukan.
"Saya mengharapkan apa yang diraih bersama skuad kebangsaan dapat diterjemahkan bersama kelab, termasuk mengikuti taktikal yang diberikan.
"Mungkin ia memberi kelebihan daripada segi momentum," kata Zaquan yang turut mempunyai misi peribadi memburu kejuaraan Piala FA keduanya selepas kejayaan 2011 bersama Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan sama, Maciel menyuarakan rasa bangga dengan kelibat tiga tonggaknya ketika bersama skuad kebangsaan sambil menuntut mereka agar mengulangi tahap permainan tinggi untuk berdepan Gergasi Merah.
Bagi pengendali dari Brazil itu, kepulangan tiga anak buahnya itu juga meningkatkan motivasi rakan sepasukan untuk aksi getir pada hujung minggu ini.
"Jika anda tidak menampilkan aksi terbaik bersama kelab, anda tidak akan menyertai skuad kebangsaan.
"Oleh itu, pemain-pemain perlu mengekalkan prestasi dan terus berusaha untuk pasukan," ujar Maciel.
Sumber >> www.stadiumastro.com