BARCELONA 4 ROMA 1
Ivan Rakitic menegaskan Barcelona masih perlu bekerja keras selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas Roma dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.
Dua jaringan sendiri Daniele de Rossi dan Kostas Manolas meletakkan Barca mengawal rentak permainan di Nou Camp, sebelum Gerard Pique menjadikan kedudukan 3-0 tetapi Roma meraih gol di tempat lawan hasil percubaan Edin Dzeko dalam baki 10 minit.
Luis Suarez memastikan kelebihan tiga gol buat skuad kendalian Ernesto Valverde itu untuk dibawa ke aksi timbal balik tetapi Rakitic memberikan amaran supaya terus berwaspada dengan kebolehan Roma.
"Kami belum berbuat apa-apa," katanya. "Kami menyedari akan terdapat tekanan lebih hebat beraksi di Itali.
"Kami perlu bersedia, melupakan cara kami bermain hari ini dan cuba mempamerkan aksi yang lebih baik. Kami mahu mara ke separuh akhir.
Rakitic tidak terkejut Roma memberikan asakan ke atas Barca hingga ke hujung permainan, dengan berkata, "Kami beraksi dalam suku akhir UCL, berdepan pasukan gergasi. Roma adalah pasukan yang berkualiti.
"Mereka turut memiliki peluang. Ia amat penting kami meraih kemenangan ini," ujarnya.
Penyerang Roma, Dzeko tidak terlalu optimis untuk melakukan kebangkitan kerana menyifatkan jaringan Suarez menyukarkan usaha mereka ketika beraksi di Stadio Olimpico minggu depan.
"Dari minit pertama, kami telah memberikan tekanan kepada mereka," kata Dzeko.
"Menyedari kebolehan mereka tetapi kami telah cuba yang terbaik dan terpaksa akur dengan kekalahan 4-1.
"Kami perlu memastikan dapat mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik (saingan Serie A) jika mahu kembali ke UCL."
Sumber >> www.stadiumastro.com