Jurulatih skuad bolasepak wanita B-16 negara, Justin Ganai, menganggap saingan Piala AFF 2018 sebagai pembukaan langkah kanan buat Malaysia dalam usaha untuk memartabatkan kembali bola sepak wanita negara.
Justin baru sahaja memulakan tugasan bersama skuad kebangsaan dan dia mengharapkan program yang diterapkan kepada anak buahnya mampu diterima dengan baik.
Tatkala Malaysia sudah lama ketinggalan jika dibandingkan dengan negara lain seperti Thailand, Vietnam atau Myanmar, misi penampilan dalam Kejohanan AFF kali ini bukan sekadar pelengkap jadual.
"Bagi saya, masih terlalu awal untuk meramal kerana saya tidak tahu kekuatan pasukan lawan dan tahap mereka. Bagaimanapun, saya sedia maklum pasukan lawan memang bagus.
"Kami akan cuba menerapkan sesuatu yang mungkin boleh mengejutkan pihak lawan dan akan melakukan yang terbaik," kata Justin.
Malaysia, yang diundi bersama Singapura, Vietnam, Myanmar dan Filipina, dijangka berlepas ke Palembang, Indonesia pada Ahad ini.
"Kami harus bersedia untuk berdepan semua pasukan. Perlawanan pertama kami adalah bertemu Singapura, disusuli dengan Myanmar, Vietnam dan Filipina.
"Saya difahamkan mungkin hanya Singapura yang memberikan kami sedikit peluang tetapi lawan lain sudah jauh di depan," tambahnya.
Sumber >> www.stadiumastro.com