Polis Merseyside menahan dua lelaki kerana disyaki melakukan cubaan membunuh seorang penyokong Liverpool sebelum perlawanan Liga Juara-Juara.
Menurut laporan, pertempuran di antara penyokong AS Roma dan Liverpool tercetus sebelum sepak mula aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield itu, awal pagi tadi.
Polis Merseyside mengesahkan mereka sedang menyiasat satu insiden "serangan serius" seorang lelaki di luar sebuah pub, The Albert, yang terletak berdekatan dengan Anfield di Jalan Walton Breck.
Pihak polis membuat rayuan kepada media sosial untuk orang ramai menyalurkan maklumat insiden semasa dan selepas perlawanan dengan Polis Merseyside mengesahkan dua lelaki -- berusia 25 dan 26 tahun -- telah ditangkap berkaitan kejadian itu.
Mangsa, seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai peminat Liverpool, mengalami kecederaan kepala dan berada dalam keadaan kritikal di hospital tempatan.
"Kami percaya mangsa berada di Liverpool bersama saudaranya untuk menonton aksi separuh akhir Liverpool dengan Roma dan diserang ketika perlawanan dekat pub Albert jam 7:35 pagi," kata detektif, Paul Speight.
"Saksi-saksi melaporkan bahawa mangsa telah dipukul dengan tali pinggang dan kemudian terjatuh ke tanah. Paramedik merawatnya di tempat kejadian dan dia dibawa oleh ambulans ke Pusat Neurologi Walton, di mana dia dirawat berkenaan kecederaan kepala. Ia kritikal dan keluarga terdekatnya telah dimaklumkan.
"Tempat di mana kejadian ini berlaku berhampiran venue perlawanan ketika peminat bergegas untuk ke sana.
"Saya merayu kepada sesiapa yang mempunyai apa-apa maklumat atau rakaman telefon bimbit kejadian itu untuk menghubungi kami dengan segera. Maklumat yang mereka ada boleh menjadi bukti penting dalam penyiasatan kami. "
Liverpool dalam satu kenyataan mengesahkan kelab itu akan berhubung rapat dengan pasukan kecemasan berhubung kejadian itu.
"Liverpool terkejut dan gerun selepas seorang penyokong Liverpool ditinggalkan dalam keadaan kritikal setelah diserang sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang Roma," kata kenyataan itu.
"Kami bersimpati dengan mangsa dan keluarganya dalam tempoh yang sangat traumatik ini, kami akan menawarkan sokongan penuh. Kelab ini telah berhubung dengan perkhidmatan kecemasan sejak insiden itu berlaku dan akan terus melakukannya."
Polis Merseyside mengesahkan sembilan lelaki ditangkap kerana pelbagai kesalahan sebelum dan selepas kemenangan 5-2 yang berpihak kepada Liverpool.
Sumber >> www.stadiumastro.com