Sabah bertemu Brunei B-21 Isnin depan


Skuad Sang Badak merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan berikutan saingan liga yang berehat panjang ketika ini.

Pengendalinya, Jelius Ating, berkata ia termasuk aksi bertemu skuad bawah 21 tahun (B-21) Brunei pada Isnin depan.

"Pasukan B-21 Brunei akan datang ke Kota Kinabalu untuk bertemu dengan kami dan saya juga difahamkan mereka (Brunei) sedang mempersiapkan skuad muda mereka itu bagi menghadapi Sukan SEA akan datang.

"Kami juga akan mengambil peluang dalam aksi persahabatan ini untuk mengenal pasti seterusnya mengatasi kelemahan kami yang masih ada," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata pihaknya juga sedang merancang beberapa lagi perlawanan persahabatan, termasuk dengan sebuah pasukan yang lebih kompetitif.

"Memang kami sedang merancang, termasuk kalau boleh kami akan ke Semenanjung (Malaysia) untuk bertemu dengan pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysiadi sana dan jika tidak pun, kami mungkin akan menjemput mereka datang ke sini.

"Memang sukar untuk kami mencari perlawanan kompetitif di sini berbanding di Semenanjung, dan jika ia tidak berlaku (perlawanan dengan pasukan Liga-M), terpaksalah kami mencari kelab-kelab tempatan di sini," katanya.

Jelius berkata skuad kendaliannya itu kini menjalankan latihan seperti biasa bagi mengekalkan kecergasan untuk menghadapi perlawanan akan datang yang hanya akan berlangsung pada 10 April depan.

"Kesemua pemain juga bebas daripada sebarang kecederaan, cuma kami akan kehilangan khidmat Maffry Balang dalam aksi akan datang kerana dia bakal menjalani penggantungan perlawanan," katanya.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==