Barisan jurulatih berwibawa kunci utama perbaiki ranking


Dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia FIFA, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mendapatkan khidmat barisan kejurulatihan berwibawa dan mempelajari selok-belok pembangunan bola sepak negara lain, kata bekas tonggak pertahanan Brazil, Roberto Carlos.

Malaysia berada di ranking ke-112 dunia ketika Carlos dan rakan sepasukannya dari Brazil berkunjung ke Kuala Lumpur untuk aksi persahabatan menjelang Piala Dunia 2002, yang menyaksikan pasukan Amerika Selatan itu menang 4-0, sebelum muncul juara dunia dalam kejohanan yang dianjurkan bersama di Korea Selatan dan Jepun itu.

Hari ini, legenda Real Madrid itu kembali ke Kuala Lumpur dan terkejut menyaksikan skuad Harimau Malaya merudum ke tangga ke-178 dunia, kedudukan paling rendah dalam sejarah ranking pasukan Malaysia.

Namun, bekas pemain berusia 44 tahun itu berharap posisi itu akan meningkat tahun demi tahun.

“Bagi memperbaiki ranking, sesebuah pasukan itu perlu mempunyai jurulatih berwibawa, jurulatih fizikal yang bagus, jurulatih berkemampuan serta jurulatih penjaga gol yang baik. Apabila barisan kejurulatihan mantap, maka prestasi bola sepak anda akan hebat.

“Tanggungjawab jurulatih ialah belajar daripada pasukan hebat seperti Real Madrid, Jerman dan sebagainya. Jurulatih perlu memastikan dirinya sentiasa peka dengan perkembangan bola sepak masa kini, perlu praktikal dan sentiasa belajar,” katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai duta jenama global AirAsia.

Bekas bintang Inter Milan dan Fenerbahce itu juga mengingatkan generasi pemain bola sepak masa kini bahawa mereka perlu sentiasa patuh kepada arahan jurulatih yang berhak dihormati kerana kedudukan dan pengalaman luas mereka dalam bola sepak.

Sementara itu, untuk menjadi pemain bola sepak yang hebat, Carlos berkata mereka perlu bekerja keras dan berusaha menjadi lebih baik daripada pemain lain.

“Berusaha dan terus berusaha. Anda perlu sentiasa bekerjasama dengan pasukan anda dan juga pihak lawan.

"Sebagai pemain bola sepak, tiada yang lebih penting selain daripada mewakili negara di pentas antarabangsa,” kata Carlos yang membarisi skuad Brazil hampir 16 tahun sebelum mengumumkan bersara daripada pasukan berkenaan selepas Piala Dunia 2006.

Diberi jolokan ‘The Bullet Man’ kerana sepakan percumanya yang kencang, Carlos berkata golnya yang paling tidak dapat dilupakan adalah sepakan percuma menarik  dari jarak 35 meter ketika menentang Perancis dalam kejohanan Tournoi de France 1997.

Carlos mewakili Brazil dalam tiga kejohanan Piala Dunia sejak 1998 manakala di peringkat kelab, dia memenangi empat gelaran dalam La Liga Sepanyol dan tiga kejuaraan dalam Liga Juara-juara UEFA pada 1998, 2000 dan 2002 bersama Real Madrid.

Sumber >> www.stadiumastro.com
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==