Malaysia masih di takuk lama


Harimau Malaya masih di takuk lama, itu rumusan berdasarkan aksi skuad kebangsaan ketika menentang Mongolia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi biarpun ada sedikit perubahan dalam corak permainan yang diterapkan ketua jurulatih baru, Tan Cheng Hoe.

Keputusan seri 2-2 dengan Mongolia di ranking ke-189 dunia dengan berstatus skuad separa profesional, cukup pahit ditelan.

Biarpun mendahului dua kali, Cheng Hoe sedikit terkilan kerana pemain kehilangan fokus di barisan pertahanan hingga menghancurkan impian meraih kemenangan.

"Kelemahan ini boleh diperbaiki. Mendahului perlawanan memberikan keselesaan tetapi kelekaan menghukum pasukan dan perkara ini akan diperbaiki dalam perlawanan akan datang," katanya.

Menurut Cheng Hoe, kemungkinan akan ada sedikit perubahan menjelang pertemuan dengan Lubnan pada 27 Mac dan dan disusuli aksi persahabatan dengan Nepal pada 1 April ini.

Beliau juga mempertahankan peranan ketua pasukan, Safiq Rahim, sebagai masih relevan walaupun beraksi kurang baik ketika menentang Mongolia.

Cheng Hoe menjelaskan khidmat seorang lagi pemain naturalisasi, Corbin Ong, tidak dapat digunakan dalam perlawanan berkenaan ekoran dilaporkan kurang sihat.

"Masalah kesihatan Corbin memaksa dia diketepikan dan kami enggan mengambil risiko kerana terdapat dua lagi aksi selepas ini," ujarnya.

Dalam perlawanan malam tadi, jaringan pasukan negara terhasil melalui gol sendiri Turbat Daginaa dan Akhyar Rashid, namun dibalas oleh lawan sebanyak dua kali menerusi Eknhbilleg Purevdorj dan Gankhuyag Serodyanjiv.

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==