Paul Pogba tidak akan menerima sebarang layanan istimewa daripada pengurus Perancis, Didier Deschamps, walaupun sedang bergelut di peringkat kelab bersama Manchester United.
Pogba berada di bangku simpanan tetapi tidak beraksi ketika United menundukkan Brighton and Hove Albion 2-0 dalam aksi suku akhir Piala FA, hujung minggu lalu.
Dia juga berada tidak dapat membarisi kesebelasan utama sewaktu Red Devils bertemu Sevilla dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, sebelum masuk membawa impak yang sangat kecil sehingga menyaksikan pasukannya tersingkir daripada kejohanan.
Deschamps berharap agar tonggak tengahnya itu akan kembali menemui sentuhan walaupun sebelum ini wujud spekulasi bahawa dia berbalah dengan pengendali United, Jose Mourinho.
"Semua orang kini bercakap tentang Pogba," kata Deschamps menjelang aksi persahabatan bertemu Colombia, awal pagi esok.
"Dia berdepan situasi rumit di United tetapi belum kehilangan sentuhan dalam bola sepak atau melupai apa yang mampu dilakukan.
"Saya telah bercakap dengannya dan menguruskannya sama seperti saya mengendalikan pemain lain. Walaupun mungkin sedikit berbeza tetapi tiada keistimewaan buatnya.
"Kadangkala, mereka tiba menyertai pasukan dalam keadaan tidak sepenuhnya baik daripada segi fizikal atau mental tetapi kami harus mempersiapkan diri untuk Piala Dunia."
Sementara itu, kapten Les Bleus, Hugo Lloris, berpendapat bahawa masalah kecederaan yang ditanggung Pogba pada musim ini telah mengganggu prestasinya di atas padang.
"Pogba masih seorang pemain yang kuat. Musim ini agak sukar buatnya kerana dibebani dengan isu kecederaan, membuatkannya tidak konsisten tetapi dia telah membuktikan kepada United dan Perancis statusnya sebagai salah seorang pemain yang terbaik ketika cergas.
"Kini, dia lebih matang. Dia tahu dimana tempat dan tanggungjawabnya. Saya tidak ragu-ragu dia akan bersedia untuk berdepan cabaran seterusnya," ujar Lloris.
Sumber >> www.stadiumastro.com